Kerajaan arah acara rasmi berskala sederhana

fahmi fadzil
Skala penganjuran acara rasmi dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan memutuskan supaya semua acara rasmi dianjurkan pada skala sederhana yang ditegaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibangkitkan sebagai susulan kepada makluman terdahulu serta perbincangan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara semalam.

Beliau berkata perdana menteri mengarahkan kementerian, agensi, badan berkanun, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), meneliti semula pendekatan penganjuran acara berskala besar.

“Semua acara rasmi, bengkel dan aktiviti berskala besar perlu diadakan pada skala sederhana,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata perdana menteri turut menekankan kepentingan penyelarasan pelaksanaan program Kampung Angkat Madani.

Katanya, inisiatif di peringkat Persekutuan itu perlu dilaksanakan secara teratur dengan penglibatan semua pihak berkaitan.

“Pelaksanaan program ini perlu diselaraskan dengan rapi, khususnya melibatkan ahli Parlimen dalam kalangan penyokong kerajaan atau backbenchers,” katanya.

Beliau menambah langkah itu penting bagi memastikan keberkesanan program serta mengelakkan pertindihan usaha di lapangan.

Author: admin