
PETALING JAYA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang menjelaskan bahawa kegiatan yang dijalankan di Pantai Balok, Kuantan, semalam bukan sebahagian program rasmi yang dianjurkan pihak sekolah.
Menurut jabatan itu, dalam kejadian petang semalam, beberapa pelajar telah keluar asrama untuk beriadah tanpa pengetahuan pihak sekolah.
“JPN Pahang prihatin terhadap kehilangan seorang pelajar sekolah sewaktu beriadah bersama rakan-rakan di Pantai Balok, Pahang pada Jumaat,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama
“Usaha mencari pelajar yang hilang sedang dipergiatkan dengan bantuan pihak berkuasa. JPN Pahang mendoakan semoga pelajar yang hilang dapat segera ditemui dalam keadaan selamat.”
Dilaporkan semalam seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mencari kepah di pantai itu.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa berusia 16 tahun itu pada 6.02 petang.
