Bukit Aman sita hampir setengah bilion dalam Op Viking

balai polis bukit aman
Ketua Pasukan Unit Siasatan Amla Bukit Aman, Fazlisyam Abdul Majid, berkata pihak berkuasa sita 2.98 bilion unit saham bernilai RM323.6 juta, bersama akaun dagangan RM64.2 juta serta 404 akaun bank RM85.6 juta. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Hampir setengah bilion ringgit disita dan dibekukan susulan pelaksanaan Op Viking membanteras sindiket pengubahan wang haram yang disifatkan canggih.

Pasukan siasatan Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman, berkata kes itu yang dibuka pada Oktober lalu hasil risikan dikumpul sejak 2018, membabitkan rangkaian kesalahan rumit, bermula pinjaman wang haram dan manipulasi pasaran saham sehinggalah pelanggaran pendedahan korporat.

Antara 15 Okt hingga 13 Jan 2026, polis menahan 10 individu dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan sindiket itu, terdiri tujuh lelaki dan tiga wanita termasuk ahli perniagaan, Victor Chin.

Ketua Pasukan Unit Siasatan Amla Bukit Aman, Fazlisyam Abdul Majid, berkata siasatan mendapati kumpulan itu disyaki terbabit dalam kesalahan mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, serta Akta Syarikat 2016.

Ini termasuk mengeluarkan perjanjian pinjaman yang mengelirukan, mengugut peminjam dan memanipulasi pasaran saham.

Pihak berkuasa membekukan aset terdiri lapan hartanah, 32 kenderaan dan saham milik dua syarikat.

“Polis turut menyita 2.98 bilion unit saham dengan nilai pasaran RM323.6 juta, bersama akaun dagangan bernilai RM64.2 juta serta 404 akaun bank berjumlah RM85.6 juta.

“Kami juga merampas barangan mewah termasuk kereta, motosikal, jam tangan, barang kemas, beg berjenama dan wang tunai dalam mata wang tempatan serta asing,” katanya menurut Berita Harian.

Sebanyak 41 individu dirakam keterangan ketika siasatan masih diteruskan.

Beliau turut menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan aset atau hasil yang dikaitkan dengan kes itu, sambil menegaskan kerjasama awam amat penting dalam membanteras jenayah kewangan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Media sebelum ini melaporkan, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai termasuk mata wang asing, serta dua kereta disita dalam serbuan di premis yang dikaitkan dengan Chin.

Serbuan itu sebahagian siasatan lebih meluas terhadap rangkaian ‘mafia korporat’ yang didakwa mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan itu.

Author: admin