Sekretariat Tangkap Azam Baki turun lagi ke jalan raya 25 April

Sekretariat Tangkap Azam Baki
Sekretariat Tangkap Azam Baki berhasrat melakukan siri jelajah di beberapa negeri.

PETALING JAYA: Sekretariat Tangkap Azam Baki akan mengadakan satu lagi siri demonstrasi jalanan di Dataran Merdeka pada 25 April bagi mendesak siasatan menyeluruh terhadap dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ dalam agensi penguatkuasaan.

Wakil sekretariat, Kelvin Lee See Kiang, berkata tindakan itu terpaksa diambil susulan kegagalan kerajaan mengambil tindakan konkrit terhadap isu integriti melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

“Kerajaan seolah-olah cuba melengah-lengahkan masa dengan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet yang sehingga kini belum membentangkan sebarang hasil siasatan walaupun sudah sebulan berlalu.

“Kami berpandangan ‘bahasa jalan rayalah’ yang akan menjadi cambuk untuk mendesak mereka melakukan apa yang betul,” kata Lee yang juga timbalan pengerusi Bersih pada sidang media.

Tambahnya, siri jelajah di beberapa negeri turut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Kumpulan itu, yang disokong oleh 33 organisasi masyarakat sivil (CSO) turut mengemukakan tiga tuntutan utama kepada Putrajaya.

Antaranya, penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), penahanan Azam, dan pelaksanaan reformasi menyeluruh terhadap SPRM, serta jaminan kebebasan bersuara berkaitan kritikan isu rasuah.

Sementara itu, Presiden Liga Rakyat Demokratik Hamdin Nordin turut meluahkan kekecewaan apabila usul membahaskan isu Azam di Parlimen ditolak atas alasan ia boleh mengganggu siasatan.

“SPRM adalah institusi awam yang didanai oleh duit rakyat. Wajar untuk ia dibahaskan oleh wakil rakyat yang kita pilih. Penolakan usul ini menunjukkan kerajaan tidak serius dalam menangani isu ini,” katanya.

Bulan lalu, lebih 150 peserta berhimpun di pusat bandar raya bagi mendesak peletakan jawatan Azam berikutan kontroversi pemilikan saham.

Sebelum ini, Bloomberg News melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7%, berdasarkan penyata tahunan syarikat difailkan pada 3 Feb tahun lalu.

Azam didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pegangan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak lebih 5% modal berbayar atau bernilai RM100,000, mana-mana lebih rendah.

Bagaimanapun jelasnya, beliau sudah mengisytiharkan urus niaga tersebut dan saham berkenaan telah dilupuskan tahun lalu. Peguamnya telah menghantar surat tuntutan kepada Bloomberg berhubung laporan tersebut.

Author: admin