KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang mengkaji keperluan untuk meningkatkan kapasiti program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), di Politeknik dan Kolej Komuniti.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata ia turut dilakukan dengan mengambil kira kesediaan ruang, tenaga pengajar serta kelangsungan hidup mereka (golongan OKU), selepas tamat pengajian.
Beliau berkata setakat ini, KPT melalui Politeknik dan Kolej Komuniti, menawarkan sebanyak 13 program yang dikhususkan bagi golongan berkenaan di peringkat sijil.
“Lima program yang ditawarkan di Politeknik melibatkan golongan kurang upaya pendengaran dan pertuturan, manakala lapan program ditawarkan di Kolej Komuniti melibatkan golongan yang mempunyai masalah pembelajaran dan juga golongan kurang upaya pendengaran dan pertuturan.
“Bilangan pelajar OKU yang sedang mengikuti pengajian di Politeknik ialah seramai 96 orang dan Kolej Komuniti seramai 264 orang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mohammad Yusof berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat), yang ingin tahu adakah KPT berhasrat untuk membina lebih banyak pusat pendidikan TVET khusus untuk pelajar OKU, selepas tamat pengajian sekolah menengah.
Sementara itu pada satu lagi soalan berkaitan OKU, beliau berkata bagi sesi akademik 2023/2024, sebanyak lapan program pengajian undang-undang bagi lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf, telah ditawarkan di institusi pengajian tinggi dengan lima daripadanya menerima calon OKU bagi semua jenis ketidakupayaan.
“Selain itu terdapat 11 program pengajian lepasan STPM dan setaraf dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), ditawarkan pada sesi 2023/2024 dengan lima daripadanya terbuka kepada semua calon yang berkelayakan dan menerima semua jenis ketidakupayaan calon OKU.
“Penawaran program kepada golongan OKU ini melalui persetujuan bersama agensi atau institusi pengajian tinggi itu, dengan mengambil kira kesediaan prasarana mesra golongan itu, bagi memastikan golongan berkenaan dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan selesa,” katanya.
Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Saifuddin Abdulah (PN-Indera Mahkota), sama ada kementerian bersedia mengkaji semua syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi bagi golongan OKU termasuk jurusan undang-undang dan ICT, untuk menjamin akses pendidikan tanpa sebarang diskriminasi. – Bernama
